Seminar bantu peniaga Melayu manfaatkan Internet

Oleh Atiyyah Mohd Said

SATU seminar khas membantu masyarakat Melayu memanfaat wadah Internet bagi meningkatkan keuntungan perniagaan mereka akan diadakan bulan depan.

Seminar bertema ‘Untung Internet’ itu dianjurkan bersama syarikat penyedia pendidikan Learning Discoveries Pte Ltd dan meja Ekoniaga Berita Harian dengan kerjasama firma Virtual Internet Specialist.

Seminar sepenuh hari pada 27 Februari itu akan mengetengahkan lima pakar Internet setempat yang akan menyentuh pelbagai aspek dalam memanfaatkan Internet bagi tujuan perniagaan.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif(CEO) Ed Borhan Pte Ltd, Encik Nur Shaheed Borhan; CEO Wealth Catalysts, Encik Saiful Rizal Azman; Pengasas IslamicSG Networks, Encik Fadzuli Wahab; CEO Search Marketing Sales, Encik Muhammad Zulkifli Rahmat; dan CEO Anggun International dan Learning Discoveries, Cik Suria Mohd.

Menjelaskan matlamat seminar itu, Cik Suria berkata ia akan memaparkan bagaimana seseorang peniaga atau mereka yang ingin menjadi usahawan dapat menggunakan Internet untuk menambahkan keuntungan dan meraih pendapatan tambahan tidak kira jenis ekonomi dan pengetahuan Internet mereka.

‘Kita lihat masih ramai peniaga Melayu/Islam belum memanfaatkan teknologi Internet untuk mengembangkan perniagaan sedangkan ia cukup amat berguna.

‘Jadi, menerusi seminar ini, kami harap dapat membantu syarikatsyarikat meningkatkan pendapatan dan keuntungan mereka,’ jelasnya.

Editor Ekoniaga, Cik Fadilah A. Majid, berkata potensi Internet sebagai wadah perniagaan baru tidak boleh dipandang ringan dan semua syarikat yang ingin berjaya harus menjadikannya sebahagian daripada strategi perniagaan mereka.

‘Trend Internet sebagai wadah niaga kini kian ketara. Kami ingin bersama menggalakkan para peniaga mendapatkan ilmu manfaatkan Internet ini menerusi seminar ini.

‘Lantaran itu, kami menyokong usaha ini dan berharap dapat menarik lebih ramai para peserta ke seminar itu,’ ujar beliau.

Seminar itu yang berharap menarik 600 peserta daripada empat golongan: Mereka yang ingin menjadi usahawan, para peniaga yang baru bertapak, syarikat-syarikat yang sudah tertubuh tetapi tidak pernah terdedah kepada Internet dan firma yang sudah mapan dan ingin tahu selanjutnya.

Di seminar itu, pelbagai strategi dan rahsia perniagaan Internet akan dikongsi oleh para penceramah.

Encik Shaheed akan menyentuh rahsia untuk tampil unik di kalangan pemain industri lain di mana para peserta akan belajar tentang strategi ‘Ninja’ yang dianggap sebagai formula paling berkuasa dalam perniagaan.

Bagi usahawan yang baru berusia 21 tahun, Encik Saiful pula akan menunjukkan bagaimana meningkatkan keuntungan menerusi pemasaran menerusi video kerana ia semakin menjadi trend terkini.

Laman rangkaian sosial Facebook memang semakin terkenal tetapi bagaimanakah ia dapat dimanfaatkan untuk menjadi alat perniagaan yang menguntungkan dan menarik lebih ramai pelanggan? Hal ini akan disampaikan oleh Encik Zulkifli dalam seminar itu.

Encik Fadzuli akan menyampaikan ceramah bagaimana menubuhkan perniagaan secara online serta berkongsi empat rahsia perniagaan online yang berjaya.

Cik Suria pula akan mengetengahkan tiga formula ajaib untuk merangsang perniagaan anda walaupun tanpa pengalaman, kemahiran atau bakat.

Seminar tersebut akan diadakan dari 9 pagi hingga 7.30 malam di The Grassroots’ Club di 190, Ang Mo Kio Avenue 8.

Mereka yang ingin menyertai secara sendirian perlu membayar $60 manakala mereka yang ingin datang berpasangan boleh menikmati harga istimewa iaitu $75 bagi setiap pasangan (bermakna $35 bagi setiap peserta).

Anda boleh membuat pembayaran dan tempahan menerusi online di laman web www.untunginternetseminar.com.

About the Author

Nur Shaheed has written 35 stories on this site.

Write a Comment

Gravatars are small images that can show your personality. You can get your gravatar for free today!


Copyright © 2010 Tip Bisnes Internet. All rights reserved.
Managed by Ed Borhan.